Friday, 23 May 2025

Tia oh Tia

Semalam Aqil call dlm pukul 9.00am lebih, terkejut juga aku dia call time2 camtu. Rupanya Pahang cuti Hari Hol. Seronok la dia tak sekolah. Dapat study lebih sikit la utk exam next harinya.  Dia cerita baldi yang hilang masa cuti sekolah hari tu dah jumpa balik. Alhamdulillah. Dia cerita lagi kat asrama dia ada burung hantu datang, lepas tu pegi, beberapa hari lepas tu dia datang balik. Dia kata, burung hantu tu boleh pusing kepala 360 darjah.. oh..aku pun tak tau.. Aku cerita kat husband, dia cakap yeke boleh pusing? Aku search dlm google katanya kepala burung hantu boleh pusing 270 darjah. Aku cakap, bestla dapat tengok burung hantu real. Dia suruh bgtau Arissa, Tia datang jumpa Aqil.. Sebelum Aqil masuk asrama, Aqil lah yg selalu menyakat Arissa, sorokkan anak patung Tia, berkejar2lah diorang dalam rumah yang tak berapa luas tu..haha..

Inilah Tia yang sangat Arissa sayang, hadiah birthday yang ke-3 dari Mami dan encem

Ingat lagi masa beberapa hari lepas Aqil masuk asrama, sunyi betul rumah. Aqlan dan Arissa je tinggal. Aqlan cakap, sunyinya rumah ni.. mcm dh xde orang.. yela, kalau tak riuh juga dengar diorang gaduh2, sakat menyakat, jerit2.. macamtu lah.. lagi 2 tahun, tinggal la Arissa seorang.. itupun kalau Aqlan dapat masuk asrama.. Aku cakap kat Aqlan, kalau betul2 nak masuk asrama kena study betul2 dari sekarang, kena pandai berdikari, pandai gosok baju, mandi dan gosok gigi bersih2, kena pandai jaga barang, pandai kemas katil, pandai basuh baju dan susun buku elok2.. jangan buku sekolah kejap kat atas katil, kejap kat atas meja, kejap  kat depan rak buku.. bukan nk simpan balik kat rak semula.. haish..geram je rasa.. ada 2 tahun lagi nak train Aqlan jadi berdisiplin ni. Arissa awal2 lagi cakap dia tak nak masuk asrama sebab nk duduk dgn ibu.. hehe.. tak tau la tu.. dia byk tahun lagi nak buat keputusannya pun...

Petang semalam Adam pulak call, dia cakap kalkulator dia yg hilang dah jumpa, masalahnya sarung dgn kalkulator tu jumpa tempat yg berlainan, satu kat sekolah, satu kat asrama.. pelik betul. Adam pulak tak tau la nak cakap memang dia careless atau apa, barang dia selalu hilang.. pernah dulu hilang 1 beg sekolah (dalam tu ada buku teks, buku kerja, buku latihan, buku nota, kalkulator), berminggu2 juga hilangnya dah la dia exam math tanpa menggunakan kalkulator.. lps dah habis exam baru dia bgtau yg beg dia hilang.. aku siap beli lagi buku teks baru sebab nanti mesti kena ganti yg sekolah punya kan.. byk pula tu..beli juga kalkulator, beg sekolah yg baru..alhamdulillah jumpa semula beg dia.. tapi itulah berminggu2, baru jumpa balik..kalkulator yg baru tu aku lekat la nama Aqlan, so kalau dh jumpa balik kalkulator dia, kira kalkulator baru tu Aqlan punyalah nanti.. Adam pernah juga hilang kasut sekolah, selipar, baldi, gayung, baju sekolah..haih byk pulak kalau nk listkan. Kadang jumpa semula, kadang misteri tanpa jejak..

xpelah macamtu lah kot asam garam kehidupan di asrama, sekolah apapun, kat mana2 pun sama sahaja. dah macam lari tajuk pulak hari ni..haha..


Sayang sangatkan dengan Tia dia ni, untung Tia dapat pergi merata tempat..ikut pindah Sabah, balik bercuti di semenanjung, Sarawak, Korea..

Tia dia ni pernah hilang sebelum ni, masa tu dalam kereta, Aqlan dan Arissa bergaduh.. Aqlan cuba utk sorokkan Tia, lepas dah hantar Adam kat asrama, Arissa duk cari2 Tia, tak jumpa2..tanya2 Aqlan, dia pun tak tau. 1 malam Arissa tidur tanpa Tia, masa mandi nangis, masa nak tidur nangis.. Dia boleh pulak panggil2, Tia...Tia.. Tia kat mana? aku yg tengok dia pun sedih jugak.. aku cakap kat husband cuba cari kat tempat mana2 kita stop semalam.. tanya Adam masa dia call, ada tak Tia dalam beg baju dia balik asrama, kot2 la terselit kat situ, Adam cakap xde.. Malam tu husband try pegi kat tempat parking area surau rumah kawan yg kitorang yg pi open house tu. Husband siap geledah2 tong sampah lagi.. sampai ada budak kat surau tu tanya.. pakcik, pakcik cari apa? Husband aku jawab, pakcik cari anak patung burung hantu yg anak pakcik sayang sangat, awk ada nampak tak kat mana? diorang pun tolong cari sama. Baiknya budak tu.. sekalinya husband aku  selak2 bungkusan megi dalam tong sampah, ternampaklah si Tia tu, dah basah sikit Tia, sebab mlm tadi hujan. Alhamdulillah jumpa juga akhirnya dengan Tia kesayangan Arissa. Balik tu terus basuh Tia. Arissa pun happy balik.. 

Wednesday, 14 May 2025

Langit senja di Kota Kinabalu

Semalam kelihatan langit yang sangat indah, Subhanallah. Sejak duduk rumah atas langit ni baru menikmatinya.. sebelum ni duduk rumah atas tanah memang tak nampak dan tak perasan sangat keindahannya kecuali keluar dari rumah sama ada sedang drive atau pergi ke mana-mana tempat.


Langit senja di Kota Kinabalu





Waktu yang sama tetapi angle yang berlainan, kelihatan Gunung Kinabalu dari kejauhan. 

Tak tahu berapa lama lagi kami menetap di sini. Kawan-kawan yang asal semenanjung pun ada yang stay sampai berbelas tahun di sini, ada juga yang berpuluh tahun dan kalau yang kawin dengan orang Sabah, memang duduk sini jelah selamanya.. hehe.. Doakan kami dapat balik semenanjung semula suatu hari nanti.

Lama sebenarnya tak  menulis di dalam blog, bila belek-belek balik dulu tulis blog sebab stress dengan tempat kerja haha.. kali ni macam nak merajinkan diri balik sebab nanti masa akan datang boleh baca balik. Pengalaman di sesuatu tempat kan berbeza. Bila fikir-fikir balik banyak hikmahnya bila tercampak di perantauan ni, walaupun jauh dengan keluarga tapi dengan kawan-kawan jadi rapat. Diorang pun dah macam keluarga juga dengan kita. Sangat best dan terharu. Lagi-lagi masa nak daftarkan Aqil kt sekolah di semenanjung. Aqlan dan Arissa terpaksa dititipkan dengan kawan yang anaknya sama sekolah dengan mereka. Adam dah siap-siap daftarkan di sini, jadi aku dgn suami je la yg menemankan Aqil ke sana. 

Nak menulis semula sebab aku ni jenis yang tak banyak cakap sangat, tapi dalam kepala banyak perkataan yang keluar, jadi nak terjemahkannya ke dalam bentuk tulisan. Sekarang ni, musim orang berangkat ke tanah suci untuk menunaikan haji. Ramai juga kawan-kawan, senior, junior yang telah dijemput menjadi duyufurrahman. Semoga aku dan suami juga akan dijemput suatu hari nanti. Mulai sekarang nak start baca tips dan nota haji, serta nak merajinkan diri dengar youtube pasal haji supaya diri ini betul-betul bersedia sekiranya dijemput nanti. 

Tuesday, 13 May 2025

Kucing


Kucing comel, geram tengok anak kucing yang kecik-kecik macam ni. Ni masa kat rumah Acik Dah ada 3 ekor semuanya tapi yang ni paling kembang ekornya. Anak-anak selalu tanya bila kita boleh bela kucing? Hmm.. xdenya, sapa lah nanti yang rajin nak bersihkan najis dia.. haha.. setakat ni korang main je lah dengan kucing-kucing yg kita jumpa kat mana-mana.


Ni pulak Ginger.. kucing Aufa.. masa ni dia tak berapa sihat sebab mungkin dia pening-pening kot dalam perjalanan balik kampung.. duk diam je. Kakak aku cakap kat rumah sblm ni riang ria je, lari sana lari sini.. 


Thursday, 8 May 2025

Pendidikan Anak-anak

Setiap ibubapa pasti lebih memikirkan tentang pelajaran anak-anak, di mana mereka akan bersekolah..macammana suasana pembelajarannya, sahsiah dan akhlak anak-anak. Begitu juga kami suami isteri. Dulu, semasa kami menetap di semenanjung, anak-anak bersekolah di Sek Abim. Kami pilih sekolah itu sebab sekolah itu adalah sekolah rendah islam yang paling dekat dengan rumah. Tahun terakhir kami menghantar anak di sana yang pada ketika itu Adam darjah 5, Aqil darjah 3 dan Aqlan darjah 1. Target kami memang nak sekolahkan anak-anak di sekolah rendah islam supaya akhlak dan pergaulan mereka terpelihara, risau sangat dengan zaman sekarang. Tapi sebenarnya mana-mana sekolah pun sama cuma kurang sikitla masalahnya. Teringat kisah tahun lepas, masa tu Adam, Aqil dan Aqlan menjawab soalan exam UKM2 di sebuah sekolah rendah kebangsaan, masa tu perhimpunan. Adam la yang cerita pada aku, cikgu menegur murid-murid tentang sentuhan murid lelaki dan murid perempuan, masalah macam tu lebih teruk di sekolah biasa, berbanding sekolah agama. Semoga Allah melindungi anak-anak kita daripada perkara yang tidak elok. 

Berbalik kepada cerita tadi, setelah pindah ke Sabah, kami memang mencari sekolah rendah islam juga. Waktu itu, tarikh untuk permohonan ke sekolah tersebut telah tutup dan kami terlepas untuk menduduki ujian dan sesi interview, tapi suami berjumpa dengan guru besar menyatakan yg kami terlewat diberitahu mengenai perkara itu. Mujur guru besar mengizinkan anak-anak kami menjalani ujian dan interview pada waktu lain. Alhamdulillah kesemua mereka dapat diterima masuk ke sekolah berkenaan. Waktu tu masih ada kira-kira 2 bulan sebelum sesi persekolahan baru bermula. Disebabkan sesi persekolahan tahun itu belum tamat, Anak-anak kami belajar sendiri di rumah, aku suruh anak-anak jawab soalan yg dicari sendiri di internet. Kira diorang ni berhenti sekolah lama sebelum exam akhir tahun, dan masuk sekolah nanti tunggu sesi baru je nanti. Jadi tahun tu xde exam  akhir tahun la diorang. 

Tibalah kira-kira seminggu atau beberapa hari sebelum masuk sekolah, time tu kan baru habis zaman covid, jadi sekolah buat taklimat secara online tentang kemasukan sekolah, silibus, cara lalu lintas hantar dan ambil anak dari sekolah dan lain-lain lagi. Waktu itu barulah yang aku tahu yang sekolah itu rupanya sekolah tahfiz. Ingatkan sekolah rendah islam biasa. Silibus ketika itu untuk tahun 6 kalau tak silap aku kena habis juzuk amma (juzuk 30), 7 surah-surah pilihan dan juga juzuk 1. Wallahh.. banyak juga tu Adam nak catch up silibus. Masa tu dalam fikiran aku dan suami, boleh ke anak-anak kita hafal ni. Tak pernah terfikir pun untuk diorang hafal al-Quran, ingatkan cukuplah sekadar sekolah agama. Tapi tak pe, kita teruskan dan tengok nanti macammana.

Sebelum pindah Sabah, aku dengan kakak aku yg no.2 tu selalu bercerita dan share pengalaman sekolah anak. Anak-anak dia semua hantar ke sekolah Al-Amin, dan dia selalu cerita pasal sekolah itu pada aku. Sekolah tu bagus, akhlak anak-anak bagus, sahsiah dia mantap, anak-anak dilatih menjadi ketua, pandai bercakap dihadapan. Aku pun sebenarnya dulu menyimpan harapan juga nak sekolahkan Adam dan Aqil di situ tapi disebabkan sekolah tu jauh sedikit dgn rumah dan jalan  sangat jem nak ke sana.. maka, aku dan suami decide pilih sekolah Abim je. Abg ipar dan kakak aku memang aim nak anak mereka hafal Quran, jadi mereka memang akan pilih sekolah SMKA TMUA atau MRSM Ulul-Albab. Masa tu aku memang tak terfikir lagi sekolah menengah mana yang akan kami pilih sebab belum study lagi pasal tu. Adam pun masa tu baru nak masuk darjah 6. Bila dah pertengahan tahun dan permohonan kemasukan sekolah-sekolah khusus serta MRSM nak dekat dibuka barulah aku tercari-cari maklumat pasal sekolah-sekolah tersebut. Terima kasih juga buat kakak senior masa ukm dulu merangkap jiran satu taman perumahan masa kat semenanjung serta kawan baik kakak aku juga yang selalu berkongsi info2 sekolah-sekolah idaman mereka. Siap dia bagi contoh surat rayuan lagi sekiranya tak dapat sekolah yang kita idamkan tu. Baik sungguh dia, semoga Allah membalas segala kebaikan beliau berlipat kali ganda.

Setelah berjuang disekolah tahfiz, barulah aku sedar yang sebenarnya anak-anak ini berkemampuan untuk menghafal Al-Quran, kami cuma bg dorongan dan semangat serta doa supaya mereka mudah menghafal. Dan kami akan tanya sendiri anak-anak nak sekolah mana, yang ada hafazan atau tidak. Sebab kami tak nak paksa sekiranya mereka tidak mampu menghafal, mereka juga yang akan menghadapinya nanti. Adam dan Aqil memang diorang sendiri yang nak hafazan jadi kami cuma tunjukkan sekolah mana yang sesuai buat mereka. Disebabkan Adam anak sulung dan masa tu kami pun baru pindah Sabah, jadinya pemilihan sekolah untuk Adam semua sekolah di sekitar Sabah sahaja. Ayahnya tidak sanggup untuk berjauhan dgn anak katanya. hihi. Aku mengikut je. 

Aqlan tahun ni dah darjah 5, dari semasa ke semasa aku sentiasa juga tanya Aqlan nak sekolah ada hafazan atau tak? Buat masa ni dia selalu cakap nak yg ada hafazan. Cuma, banyak perkara yang perlu diperbaiki sekiranya dia betul-betul nak sekolah TMUA. Setiap anak kan berbeza. Banyak lagi yang perlu ibu belajar untuk tackle hati Aqlan supaya dia rajin buat latihan, perbetulkan bacaan al-Quran dan latih sikap dia supaya lebih pandai berdikari dan rajin buat kerja rumah. KPI buat ibu juga ni nak pastikan dia boleh survive pada masa akan datang. Arissa pulak dia cakap awal-awal tak nak hafazan, dia cakap susah. Kalau boleh aku tak nak paksa kalau dia tak nak, cuma dia baru darjah 2 banyak tahun lagi kalau nak bersedia pun..hehe.. 

Kesimpulanya, sekolah rendah tahfiz diorang ni sangat bagus. Dah diajar macammana cara nak cepat hafal, siap ada buku gundalan, setiap hari guru halaqah akan share prestasi hafazan anak-anak. Rezeki yang tak disangka-sangka bila tercampak di bumi Sabah ini, dapat kawan-kawan yang sangat baik dan anak-anak mereka kebanyakkannya hafiz dan hafizah.. MasyaAllah, tabarakallah.. 

Jadilah Seorang Yang Penyabar.. Sabar..

 Assalamualaikum..

Hidup ini hanya sementara, ujian datang dlm pelbagai cara, bersyukur kerana bila ujian dtg maknanya Allah jentik hati kita untuk sentiasa bermuhasabah diri dgn apa yg sudah kita lakukan.. Hidup ini tak selalunya cerah, kadang mendung di tengahari, kadang hujan di petang hari. Apa yang kita miliki hari ini sebenarnya bukanlah sesuatu yg kita miliki selama-lamanya. Contoh seperti anak, suami dan harta benda. Suatu ketika dahulu, pernah rasa dilukai, sehingga hari ini sentiasa sematkan didalam hati, cinta manusia bukanlah sesuatu yg didambakan, cinta manusia tidak kekal lama.. cinta yang sejati hanyalah cinta kepada Allah, biar kita sedih bila kehilangan cinta Allah drpd hilang cinta manusia. Luahkan apa yg berlaku segala-galanya hanya kepada Allah, sebab pertolongan manusia terbatas. Bersabarlah di atas ujian yg Allah berikan.

Dalam mengharungi perjalanan hidup ini, bermacam-macam kerenah dan perangai orang yang akan kita temui. Kadang-kadang bertemu dgn orang yang suka bercakap, kadang-kadang bertemu dgn org yang suka memendam. Sy sentiasa ingat kata-kata ini..banyak bercakap, banyak salah,  bila banyak salah, banyak dosa, bila banyak dosa, mana lagi tempat yang sesuai untuk kita??

 Kadang rasa sedih bila orang yang kita sayang, sanggup guris dan calarkan hati kita dgn kata2 yang tidak patut dikeluarkan.. sabar... itu sahaja yg boleh diperkatakan.. 

Wednesday, 7 May 2025

Pergantungan Diri Sepenuhnya Kepada Allah

 Assalamualaikum

Hari ni terasa macam nak share sesuatu yang aku akan ingat sampai bila2, semoga memberi manfaat kepada sesiapa yg membacanya.  Cerita ini berkenaan pemilihan sekolah menengah untuk Aqil. Disebabkan ketika ini kami sekeluarga masih menetap di KK, maka majoriti kawan-kawan sekelas Aqil memohon sekolah-sekolah area KK atau di negeri Sabah amnya. Ketika permohonan kemasukan ke sekolah-sekolah khusus dan MRSM dibuka, maka pada saat itulah fikiran aku sentiasa berfikir, berfikir dan membuat pertimbangan sekolah manakah yang patut aku pilih dan yang kurasakan sesuai untuk Aqil. Pada masa yang sama aku juga selalu bertanya kepada Aqil, dia nak sekolah mana. Sebagai seorang ibu yang sentiasa ada (sebab kan dah resign dan menjadi surirumah) aku melihat setiap usaha dan pencapaian dia sejak dari sekolah tadika sehingga habis sekolah rendah. Maka aku target dan menyimpan cita-cita supaya Aqil dapat bersekolah di SBP TMUA. Di Sabah, hanya ada SMKA TMUA dan abg Aqil, Adam sedang bersekolah di situ. Cuma, aku nak Aqil merasai suasana dan persekitaran yang berbeza dengan abangnya. Dan aku dapat merasakan yang Aqil boleh pergi lebih jauh apabila dia bersekolah di sana.

Aku bukan nak pilih kasih atau membeza-bezakan antara anak-anak, cuma aku dapat lihat, kemampuan, pencapaian dan sikap mereka yang berbeza. Jadi disebabkan aku lihat Aqil ada sifat2 itu, maka aku  menggalakkan dia untuk memilih sekolah tersebut. Aku message2 juga dengan kawan2 yg berada di semenanjung untuk bertanyakan pendapat mereka. 7-8 kali perubahan juga la yg aku telah buat utk membuat pilihan sekolah-sekolah tu. Sepanjang tempoh permohonan tu, kerapla aku buat solat istikharah supaya Allah berikan pilihan yg terbaik untuk aku isi. Sujud yang terakhir setiap solat, sama ada solat fardu atau sunat sentiasa berdoa supaya Aqil dapat sekolah yg terbaik buat dia.

Pada mulanya, bila aku beritahu Aqil, yg aku pilih Superb sebagai pilihan pertama, memang dia merajuk dan tak nak bercakap dgn aku. Aku dan suami sama-sama bercakap, bersembang dari hati ke hati dan terangkan kepada dia kenapa hati aku berat untuk memilih sekolah itu untuk dia. Lama kelamaan dia menerima dan akur dengan pilihan itu, walaupun sebenarnya itu belum pasti lagi sama ada dapat atau tidak panggilan interviewnya. 

Tibalah hari keluar result panggilan interview sekolah-sekolah TMUA, alhamdulillah nama dia tersenarai untuk menghadiri interview. Sebenarnya risau juga aku sebab masa dia exam PKSK tu, dia demam.  Waktu tu, berserah sahaja pada Allah agar dia dapat jawab soalan dengan baik, betul dan tepat serta dapat jawab dan menulis artikulasi penulisan dengan sempurna. Sepanjang dia menduduki PKSK tu aku baca surah Yasin supaya dia tenang dan dapat jawab dgn baik. Sementara menunggu di kantin tu juga, aku ada berbual dgn ibu-ibu yang menunggu anak mereka dan bertanya juga pilihan sekolah yg dibuat. Ada juga yg mempertikaikan kenapa aku memilih sekolah di semenanjung yang persaingannya sengit berbanding memilih sahaja sekolah di Sabah. Tapi kan aku ada sebab yang kuat kenapa aku memilih sekolah di semenanjung berbanding di Sabah, cuma aku tak cerita lah pada mereka. 

Kalau ikutkan memang betul la, persaingan di semenanjung memang sengit. SMKAKL sahaja buat syarat kena hafal 10 baris ke atas dalam masa 30 minit.  Dengan Aqilnya tidak ambil UPKK di sini, memang mengambil risiko juga buat pilihan berani mati ni. Terpaksa berkorban wang ringgit juga untuk membeli tiket flight untuk menghadiri sesi interview. Dapat pun belum tentu lagi pada waktu itu. Cuma aku memang benar-benar bergantung pada Allah semoga Allah berikan yang terbaik buat kami. Aku dan suami berbincang siapa yang akan temankan Aqil untuk sesi interview tu nanti dan akhirnya akulah yang akan temankan Aqil ke sana. Suami bekerja dan Aqlan serta Arissa dah besar sikit, boleh la diaorang tinggal sekejap, dua hari satu malam je pun. Cuma Arissa la tak pernah lagi berjauhan dengan dia sejak lahir. 

Sampailah sehari sebelum interview, flight kami dari KK ke KL, aku pinjam kereta kakak aku untuk pegi ke Bentong. Lama betul tak drive KL, jadi noob pulak, laju2 diorang bawa kereta, seram nak keluar simpang. Kalau drive kat KK santai-santai sahaja diorang, kita pulak yang laju. Dari PJ terus ke Bentong sebab suami dah booking homestay kat sana, kalau boleh mesti dah standby kt Bentong sebelum malam sehari sebelum hari interview. Kami sampai di Bentong pun dah lewat petang, emosi Aqil perlu dijaga ketika ini. Aku plan untuk praktis2 hafazan dan penulisan tahriri Aqil malam tu. Beberapa hari sebelum tu memang dah bg dia praktis2 hafazan dan penulisan tahriri. Aku sengaja bagi ayat yang susah, muka surat random supaya Aqil terbiasa dengan ayat yg susah. Sekalinya dia stress pulak sebab susah nk hafal. Dia dah hampir nak merajuk2 dah, aku cakap la.. Aqil, xpe.. Aqil boleh.. nanti interview sebenar ibu akan doakan semoga Aqil dapat ayat yang mudah untuk Aqil sebut dan hafal. 

Tibalah hari interview, parent kena drop off anak then tak boleh stay kat situ, parking2 kat luar pagar je boleh.. jadi aku ambil peluang, pulang ke homestay untuk solat-solat sunat, baca quran dan berdoa banyak2 supaya interviewnya berjalan lancar dan mudah. Waktu ini, memang benar-benar tawakal dan berserah diri pd Allah semoga Allah bantu, permudahkan dan mudah-mudahan ada rezeki Aqil belajar di situ. Dijangka selesai interview pukul 11.30, sebelum pukul 11.30 terima message yang dia dah selesai interview, apalagi bergegaslah aku kemas2 barang untuk checkout terus selepas ambil dia nanti. 

Selesai interview, dan ambil Aqil di pondok guard, aku lihat riak muka Aqil yang ceria dan gembira. Aku tanya dia, macammana interview..ok x? Dapat hafal berapa baris? Dia cakap dapat 8-9 baris macam tu, yg lancarnya 8 baris la. Dapat ayat yang mudah. Alhamdulillah sangat2.. Tilawah pun ok. Tahriri pun dia cakap dia dapat tulis ayat yg dia pernah hafal. Ustaz tu ada tanya apa-apa lagi tak? Aqil cakap, ustaz tu ada tanya: Ada pernah masuk apa2 pertandingan? Aqil pernah masuk pertandingan hafazan wakil Sabah ke peringkat kebangsaan Petronas di Terengganu masa dia darjah 5 dulu dan Aqil dapat naib johan dlm pertandingan itu. Aqil cakap, ustaz yg interview dia tu cakap.. bagus.. dah boleh dah masuk sekolah ni nanti. Patut la muka dia ceria je lepas habis interview tu.. Mudah-mudahan ada rezekinya tu nanti. Aqil cerita kat aku, dia cakap bestla sekolah ni, senior2 yang turut membantu sepanjang proses perjalanan interview tu semua bagus-bagus, baik-baik. Sekolah tu pun luas. Yela kan, sekolah rendah dia kecil sahaja..padang pun xde.. 

Lepas tu kitorang terus ke bandar Bentong untuk lunch sekali dengan sambut birthday dia hari tu. Meraikan dia sempena birthday dia 6 Januari dan selesai interview di sekolah yang ibu dia paksa dia pilih..hehehe.. Tapi nampak dia semakin menerima dengan baik keputusan ibu dia.. Alhamdulillah. 

Keputusan permohonan kemasukan ke sekolah-sekolah khusus keluar pada 31 Januari 2025 iaitu semasa cuti persekolahan, waktu tu memang kami sedang bercuti di kampung. Malam tu memang terasa debarannya.. nak-nak lagi line internet kat sana alahaiii...memang menguji kesabaran..hihi.. Kakak aku yg aku pinjam kereta pun sama-sama menanti dengan debaran.. Alhamdulillah, akhirnya Aqil berjaya mendapat sekolah tersebut.. Syukur sangat2. Aku bernazar seandainya Aqil dapat sekolah tu, aku akan puasa selama 7 hari.  Alhamdulillah segalanya telah selesai sebelum Ramadhan lagi. 

Apa yang dapat aku simpulkan di sini ialah, sekiranya kita nak kan sesuatu, meski pun sukar berdoalah banyak-banyak kepada Allah sebab tiada lain yang dapat membantu kita, melainkan Allah. Yakin yang Allah akan perkenankan doa dan permintaan kita. 

Semoga anak-anak kita dapat menjadi huffaz yang cemerlang, dikurniakan daya ingatan yang luar biasa untuk menghafaz al-Quran, menjaga dan memelihara al-Quran dengan sebaiknya dan berakhlak dgn akhlak Al-Quran. Semoga mereka dapat seimbangkan kecemerlangan dalam hafazan dan juga akademik.. Ameen..  


Tia oh Tia

Semalam Aqil call dlm pukul 9.00am lebih, terkejut juga aku dia call time2 camtu. Rupanya Pahang cuti Hari Hol. Seronok la dia tak sekolah. ...